Saturday, June 21, 2008

Pengubahsuaian Kecil atau Pemasangan Alat Kelengkapan Tambahan yang Dibenarkan Tanpa Perlu Mendapat Kebenaran JPJ

Terdapat pengubahsuaian atau pemasangan aksesori yang boleh dilakukan tanpa mendapatkan kelulusan daripada Ketua Pengarah JPJ, terutamanya pengubahsuaian atau pemasangan yang tidak memberi kesan kepada ciri-ciri, kestabilan dan keselamatan kenderaan berkenaan seperti:-

  1. Pemasangan air spoiler di bahagian hadapan dan belakang.
  2. Pemasangan side skirt, aerofoil dan door visor pada kereta.
  3. Pemasangan protecting guards pada bahagian hadapan dan belakang kereta.
  4. Pengubahsuaian kecil pada radiator grilles, bonet atau bentuk serta rekabentuk lampu-lampu.
  5. Pengubahsuaian atau pemasangan tambahan bumper besar (sama ada jenis keluli atau fibreglass) pada bahagian hadapan dan belakang.
  6. Pemasangan rim dan tayar yang lebih besar.
  7. Pemasangan para bumbung.
  8. Pemasangan lampu brek tambahan (berwarna merah) atau lampu penunjuk arah (berwarna amber).
  9. Pemasangan spot light atau lampu halogen (kedua-duanya berwarna putih dan kuning) pada bahagian hadapan sahaja iaitu tambahan kepada lampu yang sedia ada.
  10. Pemasangan pengadang angin, penutup lampu fibreglass dan penutup enjin fibreglass pada bahagian hadapan motosikal di mana aksesori-aksesori ini tidak terkeluar dari hujung pemegang motosikal.

Nota:


Senarai yang telah dinyatakan di atas akan dikemaskini dari masa ke semasa.

Walau bagaimanapun, pengubahsuaian kecil dan pemasangan aksesori-aksesori ini hendaklah memenuhi semua keperluan perundangan sebagaimana dinyatakan di dalam Motor Vehicles (Construction and Use) Rules 1959 atau Motor Vehicles (Construction, Equipment and Use) Rules 1988.


Contohnya:-


1.Sekiranya air spoiler, aerofoil atau side skirt dipasang, ianya tidak boleh melebihi 150mm diukur dari bahagian luar tayar belakang.


2. Sekiranya door visor dipasang, ianya tidak boleh melebihi 100mm lebar dan tinggi.


3. Sekiranya rim atau tayar lebar digunakan, ianya mesti ditutup sepenuhnya dengan mudguards atau mudflaps.


4. Sekiranya protecting guards dipasang, ianya tidak boleh menutupi lampu-lampu kenderaan. Tidak dibenarkan bucu-bucu tajam atau bahagian yang terjulur keluar melebihi 100mm. Di samping itu lebar keseluruhan tidak boleh melebihi lebar kereta yang asal.


5. Sekiranya tambahan bumper besar atau protecting guards dipasang, lebihan bahagian hadapan dan belakang tidak boleh melebihi 50% dari bes roda kenderaan.

6. Jarak headlamps dan lampu isyarat tidak boleh melebihi 300mm dan 400mm masing-masing diukur dari badan yang terlebar selepas pengubahsuaian.

7. Sekiranya para bumbung dipasang, ianya tidak boleh melebihi panjang bumbung, atau lebar kenderaan atau ketinggian 400mm diukur dari bahagian teratas para bumbung.



Pemasangan Alat Kelengkapan Tambahan Yang Tidak Dibenarkan

  1. Lampu berkelip-kelip (selain daripada lampu penunjuk arah dan lampu berjaga-jaga) pada bahagian hadapan atau belakang kereta.
  2. Pemasangan lampu berwarna biru, ungu atau hijau.
  3. Pemasangan hon yang berirama atau hon dengan dua nada.
  4. Pemasangan spot light di bahagian belakang kereta.
  5. Pemasangan cermin gelap atau penampalan bahan berwarna pada cermin hadapan, cermin belakang dan cermin tepi di mana kadar ketelusan cahaya kurang dari 70%.

Nota: Walau bagaimanapun, penggunaan cermin gelap atau penampalan bahan berwarna di bahagian atas cermin hadapan sebanyak 20% dari lebarnya dan di cermin tingkap sukuan boleh dibenarkan.Senarai di atas boleh diubah dari masa ke semasa.


Jenis-Jenis Pengubahsuaian yang Perlu Mendapat Kebenaran Terlebih Dahulu daripada JPJ


Jika pengubahsuaian dan pemasangan alat kelengkapan tambahan boleh mengakibatkan perubahan besar kepada rupa bentuk, ukuran, kestabilan dan keselamatan serta ciri-ciri asal kenderaan motor tersebut, kebenaran bertulis hendaklah diperolehi terlebih dahulu dari pihak JPJ. Contohnya:-

  1. Pengubahsuaian ke atas rangka dan rangkaiannya atau rangka monocoque sebuah kenderaan bermotor.
  2. Pengubahan ke atas bentuk atau ciri-ciri asal kenderaan.
  3. Pengubahan dari kereta saloon kepada kereta convertible.
  4. Pengubahan ke atas sistem bahanapi.
  5. Pengubahan ke atas sistem brek.
  6. Pengubahan ke atas sistem steering.
  7. Pengubahan ke atas bes roda kenderaan.
  8. Penggunaan badan fibreglass bagi menggantikan badan keluli.
  9. Penukaran enjin.
  10. Pemasangan Sunroof di atas bumbung

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails