Saturday, June 7, 2008

Harapan...

Tersebutlah kisah diantara seorang insan yang kehilangan tangan, Amir dan kawannya, Othman . Pada suatu hari Amir bertemu Othman yang jarang-jarang ditemuinya. Othman terkejut kerana Amir yang pernah kehilangan tangan akibat kemalangan kini mempunyai tangan palsu terpakai hasil ikhsan seseorang. “Wah, kau dah ada tangan palsu sekarang. Baguslah kalau macam tu,” sapa Othman dengan nada biasa. “Syukur Alhamdulillah, ini sahaja yang aku termampu. Aku tak punya duit yang banyak untuk beli yang baru. Cukuplah sekadar ini.”, balas Amir dengan penuh rendah diri.

Mereka pun terus berbual kerana Amir sudah lama tidak berbual dengan Othman semenjak Othman dan beberapa rakannya lain sudah menceburkan diri dalam bidang sukan futsal. Amir merasa terpinggir kerana dia langsung tidak memiliki kebolehan sepertimana rakan-rakannya yang lain. Sudahlah begitu, topik bicara pun Amir terkadang langsung tak mampu mencelah kerana sudah jarang bertemu.

Maka Othman terus berkata kepada Amir tentang adanya tangan palsu yang lebih baik. Dia terus menawarkan kepada Amir untuk menukarkan tangan palsu itu. Sekiranya Amir mahu, Amir harus pergi ke bandar Ipoh untuk memiliki tangan palsu baru tersebut.

Hari berlalu dan Amir terus ke bandar Ipoh dengan menaiki bas berbekalkan belanja wang yang sedikit. Dia kemudiannya menemui Othman dengan harapan dapat menggantikan tangan barunya. Namun Amir kecewa kerana Othman telah menukar fikirannya dengan memberitahu bahawa hasrat menukar tangan itu haris ditangguh memandangkan banyak perkara baru yang timbul. Amir terus belalu pergi dan pulang dengan sebuah keyakinan bahawa biarlah dia terus menggunakan tangan palsu yang terpakai kerana dia percaya suatu hari nanti dia mampu jua memiliki apa yang diimpikannya selama ini, hidup sebahagia orang lain. Dia jua bertekad bahawa biar apapun yang terjadi, dia tidak akan merayu meminta belas untuk seuatu yang bukan miliknya.

Amir sedar bahawa terlalu memberikan harapan mampu menyebabkan kekecewaan dan merugikan. Kini Amir pasrah dan percaya bahawa “biarlah kita merasa kesusahan dan menderita atas segala bebanan daripada terus menagih simpati menanti belas dan menangguk di air yang keruh.”


Pengajaran:

Kalau ada rezeki kita, takkan ke mana. Usah terlalu percaya pada sebarang harapan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails