Friday, September 19, 2008

Hubungan Kian Hambar?

Oleh : Mohd Khairul Azha Azahari

Seringkali apabila sekian lama dalam sesuatu hubungan, pasangan kekasih pasti mengalami sindrom kehambaran dalam hubungan. Harus diperbetulkan, tiada kehambaran patut lahir dalam ikatan kasih sayang yang setia. Mengapa begitu? Apakah setelah berhempas pulas mendapatkan cinta ia dibiarkan berlalu macam tiada apa yang berlaku?



Keintiman sesuatu hubungan bukanlah perlu sentiasa berdekatan selalu.

Dari segi lahirnya memang kelihatan begitu. Panggilan telefon dan SMS sering sahaja dilakukan pada peringkat awalnya. Usaha mendapatkan cinta ibarat peperangan tampak gayanya. Masing-masing meyakinkan diri mereka tak rugi dimiliki. Namun begitu, setelah masing-masing telah berterus-terang tentang cinta, ianya tampak seperti normal. Sememangnya perkara ini adalah sesuatu yang berada di tahap normal.

Pasangan yang prihatin lazimnya menerima hakikat ini sebagai satu norma yang harus ditempuhi. Ini adalah kerana setiap di antara mereka punyai masa peribadi, teman-teman serta karier masing-masing. Bukan bermakna cinta itu hambar. Nurani lebih kuat merasakan sesuatu yang berlaku antara dua insan. Justeru, kekerapan bertanyakan khabar melalui panggilan sekali-sekala dalam 2 hingga 3 jam adalah lebih baik dari mencurah ribuan SMS yang mungkin akan menggambarkan ketandusan idea. Kekangan kerja harian boleh diredakan mungkin dengan hanya melakukan panggilan pada waktu rehat, tengahari dan masa-masa yang sesuai. Sedikit ungkapan kata cinta di akhir panggilan dapat menyebabkan sesiapa sahaja tersenyum kerana rasa dihargai.



Lakukan panggilan setiap masa yang sesuai sebagai tanda sayang dan kasih.

Jangan terlalu mengongkong pasangan anda kerana kongkongan tahap maksimum sebenarnya telah berlaku di awal percintaan. Lebih baik izinkan si dia bersosial daripada mengetahui si dia bersosial di balik pengetahuan kita. Sebenarnya, pada hakikatnya kita memberi peluang kepada diri masing-masing mengeksplorasi kehidupan. Biarkan berlaku perkembangan positif dari segi perwatakan, penjelakahan pengetahuan dan yang penting, masing-masing perlu enjoy pada usia yang muda.

Umpama belangkas! Tiada yang istimewa sebenarnya setiap masa berdekatan, tiap masa bermadu kasih kerana ini adakalanya menyebabkan kecenderungan berlakunya pertengkaran. Hakikat yang nyata, sungguhpun panggilan telefon dan SMS tidak sehangat dahulu, masing-masing dapat merasai debaran rindu dan getaran kasih saying yang lahir dari hati yang tulus. Adakalanya biarkan pasangan anda melancong bersama rakan-rakannya kerana mungkin dengan kehadiran kita, membantutkan keakraban persahabatan mereka.

Secara kesimpulannya, kehambaran dalam hubungan cinta perlulah dielakkan seandainya masing-masing percaya pada keikhlasan dan keluhuran hati masing-masing. Yang paling penting ialah emotional touch dan sense of homour adalah lebih baik dari ungkapan cinta sepanjang masa yang adakalanya memualkan. Kunci kepada satu hubungan yang berkekalan adalah akrab persahabatan dan rasa memiliki dalam diri setiap insan.



Jalinan yang setia pasti berakhir dengan perkahwinan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails