Tidak ramai menyedari, Negeri Sarawak yang terletak di Malaysia Timur sebenarnya pernah memiliki sultan. Sultan yang pertama dan terakhir bagi negeri ini merupakan keturunan dari keluarga di-Raja Brunei.
Menurut ceritanya, Sultan Muhamad Hasan, (sultan Brunei ke-9) yang mangkat pada tahun 1598 telah mewariskan tahta kerajaannya kepada putera sulung baginda, Sultan Abdul Jalilul Akbar. Bagaimanapun, putera kedua, Pengiran Muda Tengah mendakwa beliau lebih layak menaiki tahta kerajaan kerana diputerakan semasa ayahndanya telah dinobatkan menjadi sultan berbanding kandanya yang dilahirkan sebelum sultan Brunei ke-9 itu ditabalkan.
Menyedari tuntutan itu, Sultan Abdul Jalilul Akbar membuat muslihat dengan merajakan adindanya, Pengiran Muda Tengah di sebuah negeri yang menjadi naungan Brunei. Pengiran Muda Tengah pun menjunjung titah. Semenjak itu, jadilah baginda sebagai sultan Sarawak yang pertama dengan gelaran Sultan Tengah dan bersemayam di Santubung, Bagindalah satu-satunya sultan di Sarawak.
Setelah lama berdiam di Sarawak, Sultan Tengah tertawan hati mengahwini Puteri Surya Kesuma iaitu adik sultan Sukadana (sebuah daerah di Jawa), Perkahwinan ini telah mengeratkan lagi hubungan Brunei – Sarawak – Sukadana. Perkongsian hidup mereka akhirnya dikurniakan seorang anak iaitu Radin Sulaiman. Radin Sulaiman kemudiannya dirajakan oleh sultan Brunei di Sambas (ketika itu, Sambas berada dibawah naungan Brunei). Radin Sulaiman memakai gelaran Sultan Muhammad Syaifuddin I.
Setelah beberapa lama menjadi sultan Sambas, Radin Sulaiman menitahkan Puteranya Radin Bima melawat saudara-mara di Sukadana. Di sana, Beliau dikahwinkan oleh sultan Sukadana ketika itu, Sultan Muhammad Zainuddin dengan adinda bongsunya Puteri Indera Kesuma. Dalam masa yang sama, Sultan Muhammad Zainuddin, mengahwinkan puterinya Ratu Agong Senuhon dengan kerabat di-raja Bugis Opu Daeng Menambun. Puteri baginda dikurniakan anak perempuan, Utin Chendra Midi
Dalam pada itu, Seorang pendakwah Arab yang datang berdakwah ke Matan (sebuah daerah di Kalimantan Barat) dikahwinkan oleh sultan Matan dengan puterinya Puteri Nyai Tua. Pasangan itu dikurniakan beberapa orang anak termasuklah Sultan Syarif Abdul Rahman yang berkahwin dengan Utin Chendra Midi.
Sultan Syarif Abdul Rahman bersama isteri serta pengikut akhirnya meninggalkan Matan menuju Mempawah, menuju Sungai Kapuas sehingga bermalam di satu tempat bernama Pulau Bawa Layang. Di kawasan itu, Baginda bersama pengikutnya diganggu mahluk halus yang dikenali masyarakat setempat sebagai pontianak (kuntilanak). Dengan keimanan dan ilmu yang tinggi akhirnya gangguan itu dapat dihindar. Dengan kejayaan itu, baginda percaya Pulau Bawa Layang bakal mahsyur dan terkenal sebagai kota perdagangan dan pelabuhan di Nusantara. Akhirnya Sultan Syarif Abdul Rahman dirajakan di situ dan menamakan tempat itu sebagai Pontianak hinggalah kekal nama itu hingga hari ini.
Sumber: Jabatan Pusat Sejarah, Negara Brunei Darussalam
No comments:
Post a Comment